29 Julai, 2009

WISMA PEMBANTU PERUBATAN No. 11, Jalan Reko Sentral 9, Reko Sentral, 43000 Kajang, Selangor

PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN: BER-1MALAYSIA, BER-1‘BAKTI MULIA’


PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN:
BER-1MALAYSIA, BER-1‘BAKTI MULIA’



Berkampung lagi delegasi warga PPP
seantero Semenanjung, Sabah & Sarawak
dalam sebuah konferans kebangsaan.
Kelangsungan kita bertamu, bersilaturahim
bersilang pandangan, berpencak kebijaksanaan.

Lazimnyalah puluhan kertas kerja
penceramah lincah lidahnya berbicara
pameran, persembahan poster & bengkel:
Keperihalan kompetensi & profesionalisme PPP
menangani isu perubatan terkini tercanggih.

Saratnya kertas kerja & ceramah konferans
membuka helaian ilmu pemikir & cendekia
menyerap ke minda PPP untuk dibawa pulang
ke desa indah & kota permai, ke klinik & hospital.

Seantero Malaysia menyalakan obor
membudayai 1Malaysia Perdana Menteri
kemilau cahayanya menempiasi kita, dan
diterjemah auranya ke acuan 1KKM
memanfaati ilmu, teknologi & ICT
ketekadan PPP ber-1‘Kami Sedia Membantu’
menjangkau sempadan ruang dan masa
memesrai pelanggan menderita meniti ajalnya.

Selamat berkonferans delegasi PPP dan,
selamat kembali ke desa & kota dan,
selamat menyuntik aura ‘Bakti Mulia’
ke sanubari & minda setiap diri
individu & apatah gred senioritinya
bertauliahkan Penolong Pegawai Perubatan.


Alor Setar, Kedah Darul Aman - PUZI HADI
20 Jun 2009 / 26 Jamadilakhir 1430 Penyair / Pesara PPP Gred U36

WISMA PEMBANTU PERUBATAN No. 11, Jalan Reko Sentral 9, Reko Sentral, 43000 Kajang, Selangor


WISMA PEMBANTU PERUBATAN
No. 11, Jalan Reko Sentral 9, Reko Sentral, 43000 Kajang, Selangor

Tanggal 12 Julai 2009 (Ahad, 3.00 petang)
memahat peristiwa ‘Hari ini dalam sejarah’
untukmu profesion Pembantu Perubatan alias warga
Penolong Pegawai Perubatan (PPP) seantero Malaysia
naungan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia:
Terharu hati & teruja akal pada sebuah anjakan,
iaitulah bangunan Wisma Pembantu Perubatan (WPP).

WPP adalah suka-duka, ketawa-air mata
para pemegang amanah persatuan.
WPP adalah citra profesion PPP
seirama kejururawatan moden dunia.
WPP adalah wahana persatuan
menaiktaraf profesion berakademika.

Usah menyoal diri, apa persatuan menjanjikan apa
tanyai diri, apakah peran kita mengobori kilauan WPP.
Di mata kita tersergam WPP mewajah harga diri PPP
kejutan sebuah impian malam menjelma wajah siang.
WPP teriknya membahang mengundang pengisian
idea berani memacu ke hadapan membelah awan.

WPP mengikat silaturahim PPP dan pesaranya;
WPP mengakrab Persatuan (PPPM) & Kesatuan (KKPPSM);
WPP melangkah tapak ke dunia niaga perubatan: Iaitu…
WPP mengimpikan sebuah kolej latihan swasta PPP;
WPP mengilhami sebuah hospital swasta PPP:

Apapun apa WPP cerminan pandang belakang:
Warga Dresser @ Pembantu Rumah Sakit @ Pembantu Hospital;
Apapun apa WPP cerminan pandang hadapan:
Warga Pembantu Perubatan @ Penolong Pegawai Perubatan.
Jiwailah hidup-mati WPP kita
melayari bahtera http://www.pppmalaysia.com

Alor Setar, Kedah Darul Aman - PUZI HADI
19 Jun 2009 / 25 Jamadilakhir 1430 Penyair / Pesara PPP Gred U36

BER-1 PERLIS BER-1 RAKYAT BER-1 RAJA

BER-1 PERLIS BER-1 RAKYAT BER-1 RAJA

Daulat Tuanku
Merafak Sembah Puisi…
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni
Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,
Raja Negeri Perlis dan Jajahan Takluknya.

Ber-1 Perlis
nun di utara Semenanjung
terkecil negeri di pemidang peta Malaysia.
Serangkai nostalgia sejarah antar empayar
Kedah, Siam, Aceh, Inggeris dan Jepun
langsung merdekanya Persekutuan Tanah Melayu
dan merdekanya Sabah & Sarawak ber-1 Malaysia.
Ber-1 Perlis
melingkari Kangar-nya ibu negeri,
Arau-nya Bandar Diraja ber-1 Raja,
Kuala Perlis-nya feri melangkah ke Langkawi dan,
Padang Besar-nya menarik RM & Baht Thailand.
Ber-1 Perlis
menggamit pelancong lokal dan global
menghimbau artifak di Kota Al Marhum Kayang,
mengintai si dia via cermin di Taman Ular Batu Pahat,
beriadah dalam keheningan Tasik Melati,
menyusuri kegelapan mengkelamkan Gua Kelam,
tak perlu ke Medan di sini kita punya Gunung Medan jua,
flora & fauna sang pencipta mewangi Wang Kelian.

Ber-1 Rakyat
di dada tanahnya bersawah padi & mempelam Harumanis
di perut lautnya menangkap selaut ikan Selat Melaka
di kaki bukitnya memugar hutan herba & mandian spa herba.
Ber-1 Rakyat
majoritasnya Melayu ditemani
India & Cina & lain-lain etnik
berkisahlah Awang Batil, syair & gurindam
kasih & rindu mereka ber-1 Perlis & ber-1 Raja.
Ber-1 Rakyat
mencintai ilmu hakiki & hakikat diterjemah melalui
UniMAP dan UiTM Arau dan puluhan sekolah rendah, menengah,
kolej universiti pada ilmu duniawi & wahyu Tuhan Semesta Alam.
Ber-1 Rakyat
ada kalanya dilitupi mendung kesakitan
ataukah kaki patah bukannya patah kaki
ataukah putus asa hilang panduan & pedoman.
Ber-1 Rakyat
Perlis.fm berceloteh tentang ‘gedung’ kisah
gedung ubat. Rupanya itulah Hospital Tuanku Fauziah
dulunya tersohor Hospital Kangar di Jalan Kolam.
Tapi mana kolamnya? Tertimbus atau ditimbus pembangunan.
Ber-1 Rakyat
satu-satunya hospital di Perlis sudahpun seabad lalu (1909)
Inggeris membina dispensari deretan rumah kedai beratap nipah
di pekan Kangar dengan seorang dresser Jagat Singh.
Sesudah itu ianya menjadi sejarah, daripada dispensari
bertukar rumah sakit separa kayu (1915), daripada dresser
dah ada doktor (1926) dan bidan (1927) dan ramai lagi.
Orang Melayu yang percayakan hantu & pawang dan takuti jarum
dah berani ke depan bila Raja Perlis, DYMM Raja Syed Safi
merasmikan wad khas orang Melayu (1928). Lama kelamaan
warga kerja kian bertambah, bilangan katil bertambah,
disiplin kepakaran bertambah – Lantaran beban tugas bertambah.
Ber-1 Rakyat
melihat transformasi prasarana kesihatan
daripada rumah sakit kepada Hospital Besar Kangar
langsung pula Hospital Kangar (1995) dan
terkini Hospital Tuanku Fauziah (2005).
Topeng sebuah dispensari kuno bertukar wajah
sebuah hospital moden dan canggih menjanjikan
perawatan kelas dunia kepada rakyat ber-1 Perlis.
Ber-1 Rakyat
menumpang teduh di Hospital Tuanku Fauziah
menumpang restu kasih dan takzim Raja Perempuan Perlis,
DYMM Tuanku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid
dek ber-1 Perlis.

Ber-1 Raja “Semoga Allah Dirgahayu Tuanku”
ber-1 Raja “Kedaulatan Raja tonggak berperlembagaan”
ber-1 Raja “Raja dan rakyat berpisah tiada” … tapi
Ber-1 Perlis Ber-1 Rakyat Ber-1 Raja.


Alor Setar, Kedah / 20 Mei 2009 - PUZI HADI, Pesara PPP U36

PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN: PANDANG BELAKANG & PANDANG HADAPAN

PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN:
PANDANG BELAKANG & PANDANG HADAPAN

I – Pandang Belakang


Kitalah Dresser pewaris zaman seratus tahun keagungan Tanah Melayu era penjajah.
Kitalah Pembantu Rumah Sakit di bandar di kampung di pedalaman kala Malaysia merdeka. Kitalah Pembantu Hospital di kota di desa di belantara di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kitalah Pembantu Perubatan menumpahkan keringat di sana-sini
Pusat Kesihatan Kecil & Pusat Kesihatan Besar;
Hospital Daerah & Hospital Besar (itu istilah lama).

Kita kini menguasai pelbagai disiplin kepakaran di hospital & klinik kesihatan
dan peralatan canggih perubatan berteknologi tinggi
mengendali kesihatan pesakit di darat, laut dan udara
tak mengira siang mahupun malam.

Di satu petang di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya
tanpa diduga YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
berbicara tentang kita @ Pembantu Perubatan.
Bagaimana boleh tiba-tiba YAB PM berbicara tentang kita.
Kitapun telah lanjut usia
diberi suntikan semangat baru
diberi penjenamaan baru
diberi pengharapan baru.

II – Pandang Hadapan

Terima kasih buat teman-teman: Sama ada dulunya Dresser, Pembantu Rumah Sakit, Pembantu Hospital, Pembantu Perubatan yang dulu-duluan mendahului kami. Kalianlah pejuang yang setia yang cinta kepada profesion yang terus bertapak teguh di landasan sejarah. Kalianlah pejuang yang mengimpikan siang bermentari, meyakini esok hari tetap ada dan menganjak profesion terus di persada negara. Kalianlah lewat Lembaga Pembantu Perubatan, Kesatuan Pembantu Perubatan Malaysia (NUMA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (MAMA) menggembleng tenaga, idea dan masa demi sebuah perjuangan: Tanpa mengira hujan mahupun panas tanpa mengira ribut mahupun petir tanpa mengira untung mahupun rugi...

Terima kasih khususnya Haji Hassan Bin Haji Ahmad, Ketua Penolong Pegawai Perubatan yang jiwa raganya demi profesion tanpa takut dan bimbang.

Terima kasih khasnya Y.Bhg. Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Ismail Merican, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sentiasa mencabar kewibawaan kita. Direstuinya penjenamaan baru kita sebagai Penolong Pegawai Perubatan.

Bagaimana dengan aku dan kalian?
Menumpang tuah di atas kapal yang sedang belayar di lautan luas. Tanyai diri –
Apakah kita komited di tempat kerja?
Apakah kita proaktif menangani situasi?
Apakah kita berfikir kreatif dan inovatif?
Apakah kita telus pada sebuah akujanji?
Apakah kita bernawaitu dengan-Nya Tuhan Yang Esa….

Alor Star, Kedah (2003/2005/22 Mei 2007) - PUZI HADI Mantan PPP Gred U36