29 November, 2008

Balada

Balada

Merahitam
Musnahhampa.
Pepohon hitam
Dedaunan hilang
Reranting terkulai dan tumbang.

Ke pentas mewafatkan
Malim Sulung
Wawajah selamba dan terik tali mengikat
Digiring musuh
Menghayat rukun 20 anak-anak tangga
Merebah diri sesampai
Siang sayang memayungnya.

Keringat basah
Suara resah
Suasana desah
Para pejuang ketumpasan.
Gerakgempa memuka laut
Ributbesar mendasar.

Malim Sulung
Harimau jantan.
Mengaum mewasiat garang –
Aku Tidak Gementar Menghadapi Mati
Kita Perlu Sabar!!!

Sekonyong-konyong mengkilat datang peluru kejam
Dua das mendetup hunjam.
Kiri dada pepat hunjam.
Tepat jantung Si Malim Sulung.
Tubuh tak tumbang
Mata tak pejam.
Sepi sekali
Air mata tergenang di pipi
Mendingin tubuh kaku
Degup jantung tak berentak lagu
Mancut darah membuak-buak buru
Menghayat rukun 20 anak-anak tangga
Menyimpangsiur
Menghilir
Via jeram-jeram tuju muara
Takut-takut tanpa.
Tafakur!


Pulau Pinang
1971

Dewan Masyarakat
Ogos 1971

Padang Kota Lama

Padang Kota Lama

Sepetang.
Puncak Jerai madi di awan
Lelaut bersatu di langit biru

Kebas mukakku tamparan bayu
Luka bentengku landaan alun.

Kejauhan bukittanah bak lukisan
Kedekatan tugubatu cegat berhantu:

OVR
GLORIOVS
DEAD

Meriam Sri Rambai kemangkatan.


Pulau Pinang
1970

Dewan Sastera
Mac 1971

Pagar

Pagar

Ribut malam

Melanda

Menumbangkan

Pohon-pohon hutan.

Pelarian-pelarian

Ke padang baru.

Ribut malam

Memagar

Kata-kata.

Luka

Darah.

Kelam

Membaluti

Malam.

Alor Setar, Kedah

1980

Telur VIII

Mei 1980